70 PELAJAR UIAM DAPAT MANFAAT 3K BAGAIMANA NAK START BISNES

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Apa khabar? Saya doakan agar semuanya sihat sejahtera. Bahagia bersama keluarga tercinta. Dan bersemangat mencari rezeki untuk anak isteri. 

Kali ini, saya merasa sangat gembira. Kerana apa? Kerana UIAM, sebuah universiti yang pernah membimbing diri ini, memanggil kembali untuk menabur bakti dan budi. Berkongsikan ilmu yang sedikit, untuk manfaat semua pelajar keusahawanan. Terasa bangga pun ada. Syukur alhamdulillah. 

Baiklah. Jangan salah faham. 3K di atas bukan bermaksud RM3,000 tau. Hahaha. Sebenarnya, ini adalah ilmu yang saya amalkan, praktikkan, semasa membesarkan dan membangunkan MYWAU ini. Kini saya perturunkan ilmu asas ini kepada 70 orang pelajar yang dibawakan oleh Pusat Pembangunan Usahawan UIAM (EDC). Terima kasih tau EDC sebab menjemput saya dan team MYWAU.

Jom sama-sama kita menghayati, apakah ia 3K ini. 

(1) KENAL 

Di fasa ini, wajib untuk kita kenal dulu beberapa perkara. Kenal diri. Kenal bisnes itu sendiri. Kenal siapa bakal pelanggan kita. Saya tanya di dalam kelas tempoh hari, “Siapa di sini, yang bermazhabkan buat produk dulu baru cari pelanggan?”

Separuh daripada pelajar mengangkat tangan. Selebihnya lebih percaya cari pelanggan dulu barulah mencipta produk. Saya berikan contoh MYWAU. Kami tidak buat produk dulu. Kami tanya pelanggan kami. Apa yang mereka perlukan di dalam industri ini. Apa yang mereka cari selama ini? 

Jawapan yang saya terima adalah, nak tahu cara cut cost. Nak tahu cara jimat dalam proses memborong direct dari China dan tidak mahu lagi ke China. Guna online saja. 

Okey. Saya dan tim pun menubuhkan kelas Super Combo Taobao dan 1688. Datang ke kelas belajar website memborong. Ada caranya untuk tapis seller dan kilang. So, ianya dapat mencapai objektif dan mencari penyelesaian kepada pelanggan-pelanggan MYWAU. 

Kesimpulannya, ramai pendiri bisnes yang berjaya adalah, mereka yang cari ‘ubat’ kepada masalah pelanggan. Maka bisnes itu releven dan hidup. Para pelajar menggangguk. Saya harap mereka faham. 

(2) KEKAL

Di fasa ini, para pelajar didedahkan dengan tips pengurusan bisnes. Banyak tips dan ramai guru yang boleh membantu kita mengekalkan bisnes kita. 

Apa yang saya kongsikan adalah, bagaimana 6 roda pengurusan bisnes harus diterapkan. Kena ada pasukan. Jangan buat sorang-sorang. Penat. Dan bila kita dah exhausted, bisnes kita jugak boleh malap. 

Terima kasih kepada Byond Success yang sentiasa menjadi penasihat kepada MYWAU. Oleh kerana saya juga di dalam dunia training, saya selalu merujuk Tuan Abdul Basit dan Tuan Malik Hairuddin, orang kuat Byond Success. Maka, ilmu mahal ini juga saya share kepada para junior saya di UIAM. Moga mereka mengerti dan faham.

Di fasa kekal, kita jangan terlalu ghairah berbelanja. Kestabilan hanya diraih di fasa ketiga. Fasa kekal adalah di mana, kita sedang survive untuk mengekalkan bisnes kita agar kekal berada di track yang betul dan tepat. Waktu ini, kita perlu kuat sekuat-kuatnya. Ujian itu datang dari semua arah. Jadi jangan sekali-kali kita berputus asa. 

(3) KEMBANG

MYWAU masih lagi setahun jagung. Kami tak malu nak mengaku. Kami sedang berusaha di fasa kekal. Mahu terus segar di dalam industri. Tahun 2020/21 bakal menyaksikan kami di fasa kembang. Tak mengapa lewat sedikit. Janji kami statik di track kami sendiri. Tidak tergelincir dan tumbang. Sama juga dengan anda. Kami mendoakan agar anda selamat di track bisnes anda sendiri. Amin. 

Di fasa kembang, saya terangkan kepada pelajar. Jangan kedekut untuk berbelanja. Expand mana yang perlu. Tambahkan team kalau perlu dan ada kekuatan kewangan. Tambahkan cawangan kalau perlu dan ada sumber yang kuat. Bila waktu sesuai? Ianya bergantung dengan bisnes masing-masing. 

Ada yang mengambil masa yang cepat untuk growth. Ada yang amik masa yang lama. Tapi tak mengapa. Biar lambat, asal selamat dan berkat. 

Di dalam fasa akhir program, saya dan Coach Razali, GM kepada MYWAU, dijemput untuk menjadi juri kepada sesi pitching IDEAS dan Bisnes Plan. Seramai 20 pelajar persendirian dan berkumpulan membentangkan idea mereka. 

Saya terkejut. Ada yang datang membentang bisnes yang dah dijalankan sejak habis PT3. Beliau sudah di fasa kekal. 

“Saya tak suka statik macam ni. Ada tak cara saya nak kembangkan bisnes saya?” Tanya salah seorang dari peserta pitching

Saya bangga. Adik-adik UIAM ini bukan biasa-biasa. Macam-macam bisnes serta idea yang dipersembahkan. 

Akhirnya, di majlis penyampaian hadiah serta penutup kepada program yang diberi nama Seek Fund Series 1 ini, saya telah dijemput untuk memberikan ucapan. Saya katakan kepada Razali, “Awat tak habaq ada ucapan?”

Razali hanya menggeleng kepala. Ternyata dia pun tak tahu. Saya meminta izin untuk ke pentas. Tak mengapa. Mungkin ini rezeki saya untuk berikan amanat yang terakhir sekaligus menutup sesi ceramah saya pada hari Sabtu. 

“Adik-adik saya sekalian. Dunia ini pantas. Apa saja idea bisnes yang kita buat, kita kena hormatinya. Saya tidak berada di sini, kalau bukan atas izinNya jua. 

Maka jangan lupakan Dia saat kita susah atau berjaya. Jadikan pengalaman kita berbisnes kecil-kecilan di UIAM sebagai asbab sebuah kejayaan di masa hadapan. Jangan keluh mengeluh. Jangan ratap meratapi. Usah gentar dengan ujian yang mendatang. 

Dunia bisnes adalah dunia yang tidak menjanjikan bulan dan bintang. Kalau jatuh, bangkit semula. Kalau tak jadi, olah semula. Tidak ada satu pun yang tak boleh. Wajib semua boleh. 

Ingatlah adik-adik. Jadilah yang terbaik. Kalau belajar, belajarlah betul-betul. Kalau berbisnes, buat juga sampai jadi. 

Bila mana kita keluar universiti nanti. Ingatlah. Jadilah manusia berguna dan memberikan manfaat kepada orang. Jadilah the best version of you!”

Itulah sebahagian kata-kata spontan yang keluar dari mulut saya. Jatuh bangun saya sudah saya merasa. Akaun kering kontang jugak pernah kurasa. Saya takde tips macam mana nak hadap kegagalan. Saya cuma ada cara bagaimana nak bangkit semula. 

Caranya tak lain dan tak bukan. Juga diamalkan oleh Jack Ma, sang jutawan pemilik Alibaba. 

NEVER GIVE UP!

Semoga artikel ini bermanfaat. Anda boleh share artikel ini tanpa minta izin pun. Boleh jadi bermanfaat kepada ramai orang. Kepada Allah saja kita pulangkan segala pujian.